Sila Tgalkan LINK anda Disini

Tuesday, February 22, 2011

Kehilangan Cahaya mata..Bagaimana nak menghadapinye??

Posted by Nurul Atiqah at 10:29 PM
Hati siapa yang tidak sedih bila anak yang dikandung meninggal dunia sebelum sempat dilahirkan atau sebaik dilahirkan ke dunia. Mengapa masalah ini berlaku? HASNITA SAWAL mendapatkan butiran lebih lanjut berkenaan hal tersebut daripada doktor pakar.
Dalam terma perubatan masalah kehilangan cahaya mata di kalangan ibu hamil lebih dikenali sebagai stillbirth. Menurut Prof Madya Dr Hj Ahmad Murad Zainuddin, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, stillbirth bermaksud kematian bayi semasa di dalam kandungan ibu yang berusia sekurang-kurangnya 20 minggu atau apabila ditimbang bayi tersebut beratnya sekurang-kurangnya 500 gram.
Bayi yang meninggal di dalam kandungan sebelum kandungan berusia 20 minggu atau kurang 500 gram dikategorikan sebagai telah mengalami keguguran.
Terdapat dua jenis stillbirth iaitu Macerated stillbirth dan fresh stillbirth. Menurut Dr Ahmad Murad, Macerated still bermakna bayi telah meninggal dunia dalam kandungan untuk beberapa ketika.
Manakala fresh stillbirth adalah bilamana bayi baru sahaja meninggal dalam kandungan termasuklah ketika dalam proses kelahiran bayi tersebut.
Kerisauan bakal ibu sepanjang kehamilan memikirkan adakah mereka terdedah kepada risiko stillbirth boleh diredakan apabila mereka mempunyai info mengenai apakah tanda-tanda berlakunya masalah stillbirth.
Dr Ahmad Murad memberitahu yang tanda-tanda seseorang mengalami stillbirth iaitu kebiasaannya ibu hamil mengadu gerakan bayi mereka berkurangan atau tiada langsung.
“Ada kalanya ibu-ibu ini mengadu perut mereka sakit dan ini mungkin diikuti dengan pendarahan melalui bahagian faraj. Terdapat juga ibu-ibu yang tidak mempunyai sebarang keluhan dan hanya menyedari kandungan mereka telah tiada lagi apabila menghadiri rawatan antenatal.
Keluhan pesakit dan pemeriksaan klinikal membantu para doktor membuat diagnosis ini. Kebiasaannya bunyi degup jantung bayi dapat dikesan menggunakan “pinnard” atau lebih mudah menggunakan alat daptone yang boleh dilakukan oleh mana-mana jururawat yang dilatih. Akan tetapi diagnosis stillbirth mestilah disahkan menerusi ujian ultrasound yang boleh dilakukan oleh doktor perubatan yang bertauliah. Ujian-ujian seperti CT scan atau MRI tidak perlu sama sekali untuk membuat diagnosis stillbirth ini,” terang beliau.
Punca Stillbirth
Menurut Dr Ahmad Murad, sebab-sebab kematian stillbirth tidak diketahui. Bagaimanapun hasil pemeriksaan yang dilakukan membolehkan doktor mengesan melalui ujian imbasan terperinci bahawa bayi-bayi yang mengidap “lethal congenital abnormality” seperti Patau’s Syndrome adalah antara contoh penyebab kematian bayi.
Selain dari itu keadaan kencing manis semasa hamil terutama yang memerlukan rawatan suntikan insulin meningkatkan lagi risiko ibu-ibu mendapat stillbirth. Begitu juga dengan ibu-ibu yang mengidap pra eklampsia atau eklampsia.
Pendarahan dalam rahim akibat kedudukan uri yang rendah atau disebabkan abruption placenta/pemisahan uri yang awal dari dinding rahim juga boleh menyebabkan stillbirth.
“Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan stillbirth. Chrioamnionitis adalah antara komplikasi akibat turun air/ leaking yang berpanjangan semasa hamil dan ini boleh mengakibatkan stillbirth.
Sebahagian kecil stillbirth adalah disebabkan oleh keabnormalan tali pusat seperti simpulan tali pusat atau “true knot,” demikian terang doktor pakar ini.
Menyedari betapa sukarnya bakal ibu bapa untuk menghadapi realiti mereka kehilangan zuriat yang dinanti, kebiasaannya mereka akan diberi kaunseling oleh doktor yang memeriksa selain mencadangkan langkah-langkah
yang perlu diambil.
“Biasanya ibu-ibu ini akan dirawat sebagai pesakit luar melainkan jika mereka mempunyai masalah perubatan lain yang memerlukan rawatan pesakit dalam wad seperti darah tinggi atau pra eklampsia. Mereka akan diberi pilihan untuk tunggu sehingga bayi tersebut lahir sendiri atau di induce.
Jika mereka memilih untuk menunggu sehingga sakit bersalin datang dengan sendiri, ini akan mengambil masa sekitar dua hingga empat minggu, kadang kala lebih dari empat minggu.
Sekiranya bayi yang sudah tidak bernyawa ini telah lama meninggal di dalam rahim ibu, pilihan ini boleh menimbulkan komplikasi yang lain seperti jangkitan kuman di samping meningkatkan risiko-risiko komplikasi mengandung yang biasa berlaku pada ibu-ibu yang hamil seperti eklampsia.”
Kebiasaannya pasangan ini memilih untuk di induce kandungan mereka. Ini dapat mengurangkan kesan psikologi kepada pasangan tersebut di samping mereka boleh kembali kepada kehidupan normal mereka. Proses induksi ini memerlukan rawatan pesakit dalam wad dan mungkin mengambil masa beberapa hari. Jarang sekali bayi yang telah meninggal itu memerlukan pembedahan caesarean kecuali dalam kes-kes tertentu seperti placenta previa major/uri di bawah.
Menurut Dr Ahmad Murad lagi, beberapa penyiasatan makmal perlu dilakukan untuk mencari kemungkinan penyebab kematian bayi ini termasuklah ujian bedah siasat. Malangnya kebanyakan pasangan-pasangan ini tidak membenarkan bedah siasat dilakukan ke atas bayi yang telah meninggal itu selepas bayi tersebut dilahirkan.
Cegah Awal
Kesukaran menghadapi kesedihan kehilangan cahaya mata membuatkan para ibu perlu mengambil pencegahan awal bagi mengelakkan masalah stillbirth berlaku ke atas mereka.
Justeru itu, sebelum merancang untuk hamil, bakal ibu perlu memastikan mereka sihat untuk melalui fasa kehamilan. Ia termasuklah memastikan mereka tidak mempunyai masalah perubatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan jika ada perlulah mendapatkan pandangan pakar perubatan berkenaan hal tersebut sebelum hamil.
Bagi yang pernah mengalami stillbirth, peluang untuk mereka melalui proses kehamilan yang normal tetap ada. Risiko untuk kejadian ini berulang pada kandungan berikutnya bergantung kepada punca kematian stillbirth yang pertama. Bagi kematian yang disebabkan oleh janin yang tidak normal, agak jarang ia berulang lagi pada kehamilan seterusnya.
Oleh itu Dr Ahmad Murad menegaskan adalah penting untuk ibu-ibu menghadiri pemeriksaan penjagaan antenatal sepanjang tempoh mengandung. Sekiranya ibu berisiko tinggi seperti mengalami darah tinggi dan atau kencing manis, pemantauan akan menjadi lebih mendalam dan kerap daripada biasa.
“Ujian-ujian seperti “detail ultrasound” mungkin boleh membantu mengesan bayi-bayi yang mempunyai masalah kecacatan yang teruk sekitar 20 -24 minggu dan ini dapat membantu proses kaunseling sekiranya didiagnosis lebih awal.
Doktor akan menyarankan penggunaan carta pergerakan anak semasa kandungan 30 minggu ke atas. Sekiranya bayi mengalami pergerakan kurang dari 10 kali sehari, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut,” akhirinya.

kredit-majalah pa ma

0 comments:

 

Miss TiqaH punye BLOG Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Angry Birds Merchandise