Sila Tgalkan LINK anda Disini

Tuesday, February 1, 2011

Banjir empat negeri semakin teruk

Posted by Nurul Atiqah at 5:45 PM
KUALA LUMPUR 1 Feb. - Keadaan banjir di Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan semakin meningkat.
Setakat petang ini, mereka yang dipindahkan di 356 pusat pemindahan sementara di empat negeri terbabit kini mencecah 60,389 orang berbanding 46,206 semalam.
Di JOHOR, daerah Segamat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila 19,6111 orang ditempatkan di 88 pusat pemindahan.
Ia diikuti Kluang dengan 11,299 mangsa yang dipindahkan ke 48 pusat pemindahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, secara keseluruhan sebanyak 13,820 keluarga terlibat dalam bencana itu.
Berikutan itu, kementeriannya telah menggerakkan sepenuhnya jentera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa.
"Jaminan kami bekalan makanan serta keperluan lain kepada mangsa banjir ini adalah mencukupi dan kami memantau secara berterusan.
"Kementerian juga telah melakukan banyak persiapan dan kami bersedia sekiranya bencana banjir ini berlarutan," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis hari ini.
Di NEGERI SEMBILAN , jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan di seluruh negeri ini kini menurun kepada 2,393 orang walaupun cuaca dilaporkan terus mendung dan hujan di sekitar daerah Gemas, Kuala Pilah dan Jempol.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,568 adalah penduduk di kawasan Gemas yang melibatkan 315 keluarga.
"Semalam, mereka yang dipindahkan akibat banjir di seluruh negeri ini ialah 4,198 orang.
"Pekan Gemas dan Taman Sungai Gemas paling terjejas dan air ketika ini masih belum surut sepenuhnya selepas ia mencecah sehingga paras bumbung rumah semalam," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Gemas.
Pada masa sama, daerah Tampin, Felda Sungai Kelamah dan Air Kuning Selatan turut terjejas, begitu juga Felda Jelai 4.
Di MELAKA, keadaan banjir tidak banyak berubah terutama bagi kawasan Melaka Tengah dan Alor Gajah ketika penduduk di daerah Jasin mula berpindah ke rumah masing-masing apabila air mulai surut.
Keseluruhan mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin ialah 4,166 orang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan Melaka Tengah terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir daripada 316 orang semalam kepada 2,161 sehingga lewat petang ini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan lima lagi pusat pemindahan sementara dibuka hari ini bagi menampung jumlah mangsa yang semakin meningkat di kawasan Melaka Tengah.
Beliau berkata, lima pusat pemindahan yang dibuka hari ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, SMK Munshi, Bilik Bacaan Bertam Malim, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Malim dan Dewan Japerun.
''Keadaan banjir di kawasan Melaka Tengah nampaknya makin buruk dan jumlah mangsa dipindahkan pula semakin bertambah hingga kita terpaksa membuka lima lagi pusat pemindahan sementara.
''Di Alor Gajah pula masih terdapat kira-kira 380 keluarga membabitkan 1,568 orang yang kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan.
''Bagaimanapun, di Jasin banjir mulai surut sejak malam tadi dengan 10 pusat pemindahan telah ditutup dengan hanya lima lagi yang masih beroperasi dengan 93 keluarga membabitkan 437 orang setakat ini," katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di SMK Munshi, Batu Berendam.
Di PAHANG, keadaan banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,777 orang membabitkan 226 keluarga.
Sehingga lewat petang ini, semua mangsa banjir yang dipindahkan terdiri daripada penduduk dari 12 kampung di daerah Rompin, Bentong, Raub dan Temerloh.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, jumlah tersebut melibatkan 1,687 orang daripada 204 keluarga di Rompin dan 90 mangsa membabitkan 22 keluarga di Bentong.
Katanya, beberapa jalan di Bera dan Rompin ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air setinggi 1.5 meter hingga dua meter.
"Jalan tersebut ialah Jalan Ladang Hwali, Jalan Ladang Trading dan Jalan Kampung Baru Bukit Ibam di Bera.
"Turut ditutup ialah jambatan Sungai Gayung dan jambatan Kampung Lubuk Batu di Rompin serta jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah," katanya.
Sementara itu, tambah beliau, beberapa penempatan turut terputus hubungan apabila paras air meningkat secara mendadak sehingga menjejaskan laluan utama.

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY KAMIL MASLIH, FAZRINA AYU RADUIAN, AINOL AMRIZ ISMAIL dan AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my
sumber:Utusan

0 comments:

 

Miss TiqaH punye BLOG Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Angry Birds Merchandise